Sunday, July 31, 2016

A very detailed analysis of the Budget Allocation for Sabah

Rosalam Sarbatly

BAJET KERAJAAN PERSEKUTUAN: Apakah Sabah mendapat agihan yang Saksama?
Hari ini saya akan membincangkan asas agihan kekayaan berdasarkan budget tahunan Negara dan sumber utama pendapatan negara. Perbincangan ini penting kerana salah satu perkara utama yang terkandung dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah tanggung jawab kerajaan persekutuan dalam pembangunan ekonomi selain isu keselamatan. Perbincangan agihan peruntukan menjadi lebih penting bagi meletakkan asas agihan peruntukan kekayaan negara.
1. Bajet dan Pendapatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Seperti sedia maklum, bajet negara yang diagihkan kepada kementerian-kementerian persekutuan berjumlah RM251.6 billion untuk tahun 2013. Sejumlah RM201.9 billion (80.2%) digunakan untuk perbelanjaan operasi manakala RM49.7 billion (19.8%) diperuntukan untuk pembangunan (Ucapan PM dalam budget 2013).
Bajet Malaysia dijana oleh dua sumber utama. PETRONAS yang meyumbang ~45% atau ~RM110 billion manakala kutipan cukai sebanyak RM124.69 billion (2012). Malaysia sebenarnya mengalami perbelanjaan defisit. Berapakah jumlah tunai sebenar kutipan negera? Apakah RM124.69 billion daripada kutipan cukai, manakala RM110 billion sumbangan PETRONAS terdiri daripada RM30 billion tunai dan selebihnya dalam bentuk susidi? Berapa pula sumbangan sumber minyak kelapa sawit, dan getah kepada ekonomi negara?
Kita mungkin boleh berbangga dengan budget RM4.088 billion tahun 2013 yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Budget yang tertinggi sejak Sabah bersama-sama dalam Malaysia, tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Panglima Musa Aman. Budget ini perlu diagihkan kepada tanah seluas 74,500 kilometer persegi dengan jumlah penduduk melebihi 3.5 juta orang.
Perolehan bajet negeri Sabah, RM941.25 juta disumbangkan oleh royalti minyak dan gas, manakala hampir RM1 billion lagi disumbang oleh kutipan cukai minyak kelapa sawit untuk tujuan pembangunan (2012). Jumlah budget Kerajaan Negeri Sabah sebanyak RM4.08 billion terlalu kecil berbanding budget Negara sebanyak RM251.6 billion (Budget 2013). Budget kerajaan Negeri Sabah juga adalah budget defisit, atau perbelanjaan melebihi pendapatan.
2. Berapakan anggaran sumbangan negeri Sabah kepada bajet Negara?
PETRONAS merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah. Perolehan PETRONAS dibahagikan kepada dua kategori utama, pendapatan dalam dan luar negara. Pendapatan dalam negara menyumbang ~60% pendapatan manakala selebihnya pendapatan aktiviti perniagaan luar negara.
Daripada 60% pendapatan dalam negara, Sabah menyumbang dalam ~30% minyak dan ~14% gas asli (rizap 2009). Secara kasar, jumlah pendapatan PETRONAS bagi aktiviti di Sabah menyumbang sebanyak 15-20%. Oleh itu, anggaran sumbangan negeri Sabah kepada budget negara melalui sumbangan dividen PETRONAS adalah dalam lingkungan RM9.9-RM13.2 billion. Petronas melabor dalam operasi pertengahan bagi membina terminal minyak di Kimanis sebanyak kos RM3.8 billion dan operasi hiliran kilang ammonia-urea di Sipitang dengan kos sebanyak RM3 billion bermula tahun 2008. selain itu, Petronas juga telah memberikan kometment untuk melabor di Kota Belud. Jumlah pelaboran sekitar RM68 billion di Sabah masih terlalu kecil jika dibandingkan perolehan dan tempoh kewujudan mereka sejak tahun 1976 di Sabah.
Mengikut kenyataan Jabatan Akauntan, cukai pendapatan yang dikutip di Sabah sebanyak RM4.42 billion pada tahun 2012 (dilaporkan semasa sidang dewan Negri Sabah). Mengikut Pengarah IRB Sabah, jumlah kutipan cukai adalah sebanyak RM3.67 billion untuk tahun 2012. Selain itu, sebahagian besar syarikat-syarikat besar khususnya yang berkaitan dengan kelapa sawit dan petroleum yang beroperasi di Sabah didaftarkan di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna jumlah kutipan cukai sebenar bagi aktiviti perniagaan di Sabah boleh melepasi angka RM10 billion. Contoh paling mudah adalah cukai pendapatan PETRONAS, Maybank, dan syarikat-syarikat besar yang beroperasi di Sabah semuanya dilaporkan di Kuala Lumpur.
3. Kemana budget Negara di gunakan?
Mengikut ucapan budget Datuk Seri Najib untuk budget 2013, sebanyak RM201.9 billion digunakan untuk perbelanjaan operasi manakala RM49.7 billion bagi perbelanjaan pembangunan.
Menurut laporan daripada Ketua Menteri Sabah dalam persidangan dewan negeri lepas, RM9.08 billion telah diperuntukkan untuk pengurusan dan pembangunan di Sabah oleh kerajaan persekutuan. Berbanding dengan peratusan budget negara jumlah ini hanyalah sebanyak 3.62% daripada jumlah keseluruhan budget negara pada tahun 2013. Apakah peratusan ini mengambarkan pengagihan kekayaan secara saksama?
4. Kenapa jumlah perbelanjaan operasi di Sabah kecil?
Sejak pembentukan Malaysia, Sabah diperuntukan dengan budget pembangunan yang lebih bersifat “one-off”. Sabah jauh ketinggalan dalam agihan peruntukan operasi Negara yang merangkumi 80.2% daripada keseluruhan budget Negara. Kenapa Sabah tidak turut serta atau ketinggalan jauh dalam peruntukan operasi yang berjumlah RM201,9 billion?
Jika kita lihat perbelanjaan operasi secara lebih terperinci, daripada 1.42 juta kakitangan awam dengan jumlah emolumen sebanyak RM58.6 billion (2013), jumlah kakitangan awam yang berada dan berasal daripada Sabah berbanding di Semanjung Malaysia adalah kurang daipada 5% daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam Negara. Sebanyak 85, 494 orang kakitangan awam persekutuan dan badan berkanun di Sabah termasuk 15,390 orang daripada Semanjung Malaysia (Persidangan DUN, Jul 2012). Selain jumlah kekitangan awam yang kecil, jumlah gaji juga jauh lebih rendah kerana kebanyakan jawatan tertinggi berada di Semanjung Malaysia. Mengambil kira jumlah pekerja sektor awam dan gaji rendah yang diperolehi, daripadaRM58.6 billion peruntukan, di anggarkan Sabah hanya menerima kurang daripada 3% atau kurang daripada RM1.7 billion.
Kita lihat sebagai contohnya Kementerian Pendidikan Malaysia. Terdapat 20 buah universiti awam tempatan di Malaysia. Hanya sebuah sahaja universiti tempatan di Sabah (UMS) berbanding jumlah penduduk melebihi 3.5 juta orang. Di Semanjung Malaysia, sebanyak 18 buah Universiti dengan purata 1.2 juta penduduk bagi setiap universiti. Pengiraan ini tidak termasuk cawangan-cawangan universiti-universiti awam dan swasta menjadikan kadar penduduk bagi setiap universiti di Semanjung Malaysia jauh lebih baik berbanding dengan di Sabah. Dianggarkan sebanyak RM5-6 billion diperlukan untuk menampung kos operasi bagi 20 universiti tempatan. Daripada jumlah tersebut, UMS diperuntukan dalam lingkungan RM300 juta setahun, kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan budget operasi universiti-universiti tempatan. Agihan ini belum lagi mengambil kira peruntukan penyelidikan dimana UMS menerima kurang daripada 3% daripada keseluruhan budget penyelidikan. Begitu juga dengan pendidikan menengah dan rendah.
5. Apakah asas agihan Dana Persekutuan?
Secara amnya, Semanjung Malaysia telah diperuntukan hampir 90% daripada budget operasi Negara sejak zaman-berzaman dan agihan ini tidak mempunyai asas selain mengikut sistem yang sedia ada.
Jika agihan peruntukan negara bersandarkan peratusan penduduk, Sabah sepatutnya memperolehi 12.5% atau RM32.7 billion setahun. Jika bersandarkan keluasan tanah, dan hasil, Sabah sepatutnya menerima lebih dari RM50 billion setahun.
Oleh itu, asas agihan dana persekutuan yang dipraktikkan sehingga kini yang bersandarkan kepada sistem sedia tidak mempunyai asas kukuh tetapi lebih kepada bersandarkan kekuatan politik. Kelemahan asas ini perlu diubah segera.
6. Apa perlu kita lakukan?
Agihan perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan perlu dikaji semula disemua kementerian-kementerian di Malaysia. Dasar-dasar perlu digobal agar perlaksanaan agihan peruntukan operasi lebih adil dan saksama tanpa bersandarkan kepada sistem sedia ada yang akan mengekalkan status Sabah terus ketinggalan dalam arus pembangunan.
Polisi pengigahan dana diperingkat pembuat dasar perlu memperuntukan sekurang-kurangnya 10% sebagai KPI (Key Performance Index) dari jumlah keseluruhan bajet di setiap kementerian berbanding 3-4% pada masa sekarang. Dengan pertambahan peruntukan tersebut, sistem penyampaian boleh ditingkatkan selain dapat meningkatkan usaha membantu masyarakat Sabah yang telah lama ketinggalan.
Selaku penyumbang terbesar ekonomi Negara, Sabah berhak dan perlu memperolehi tambahan peruntukan operasi di kesemua kementerian persekutuan di Sabah bagi meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan seterusnya dapat melonjakkan ekonomi negeri seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Ir. Dr. Rosalam Sarbatly,
(Beaufort, Sabah. 03 Julai 2013)

No comments:

Introduction

This blogspot is filled with Adsense links. These google advertising links can be useful but their uses are strictly governed. I earn cash if any of you click these links but if I or my close acquaintances click them, google is very harsh in permanently banning me. Please do not click these adverts unnecessarily.

Learn how to earn money by clicking the button below: